Indahnya Pantun Melayu

Air dalam bertambah dalam,

Hujan di hulu belumlah teduh;

Hati dendam bertambah dendam,

Dendam dahulu belumlah sembuh.

Baris pembayang Air dalam bertambah dalam, Hujan di hulu belumlah teduh; menggambarkan rasa gelisah dan tidak sedap hati seseorang. Orang yang tinggal di hilir akan berasa resah gelisah dan berdebar-debar kerana air di hilir bertambah dalam kerana hujan di hulu belum teduh-teduh. Keadaan ini memungkinkan banjir akan berlaku jika hujan di hulu tidak reda-reda.

Perasaan yang sama ditemukan dengan maksud pantun. Seseorang berasa resah gelisah dan tidak sedap hati memikirkan perasaan rindu dendam terhadap seseorang. Rindu dendam belum terubat atau sembuh sepenuhnya tetapi mahu ditinggalkan semula oleh kekasihnya.


Kesatuan pembayang dan maksud pantun membawa maksud hati seseorang yang gelisah dan tidak sedap hati kerana rindu dendam yang dahulu belum terubat sepenuhnya tetapi akan ditinggalkan kekasihnya semula.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Ada satu pantun tradisional yg saya ingat bila mengisahkan dendam / hati terluka...

Buah rambutan warnanya merah,
Letaknya di peti dalam perahu;
Luka di badan nampak merah,
Luka di hati tak siapa pun tahu.

Ia mengambarkan kelukaan pada dalaman / perasaan itu lebih parah berbanding cedera fizikal.. Mudahnya, perasaan traumatik lebih kritikal berbanding parut pada badan..