ANGAN-ANGAN MASA KECIL Hidup penuh dengan angan-angan... angan-angan yang kadang-kadang tidak masuk akal. Masa zaman kanak-kanak aku berangan-angan basikal kecilku boleh terbang ke mana-mana sahaja. Tidak cukup dengan itu, berangan-angan ada binatang peliharaan seperti ayam atau kucing yang boleh ikut ke mana-mana sahaja aku pergi, waima aku pergi ke sekolahpun binatang ini boleh mengikutku! Alangkah bahagianya... Itu adalah angan-anganku ketika kecil, yang tidak tahu dunia sebenar, yang tidak tahu hakikat hidup sebenar...
ANGAN-ANGAN SELEPAS SPM
Seronok berangan-angan bukan? Memang seronok… tapi itu angan-anganku samasa zaman kanak-kanak. Zaman yang penuh dengan keriangan dan kegembiraan. Semakin aku dewasa, semakin bertambah angan-anganku. Selepas SPM aku berangan-angan ingin menjejakkan kaki ke universiti, walau apa-apa cara sekalipun. Namun angan-angan tinggal angan-angan. Keputusanku tidak melayakkan aku untuk ke sana. Tetapi aku bukan jenis wanita yang cepat mengalah. Aku menyambung pelajaran aku ke tingkatan 6… dengan misi hendak meneruskan angan-angan yang terbengkalai sebelum ini. ANGAN-ANGAN SELEPAS STPM
Kita hanya merancang tetapi tuhan menentukan.. Keputusan aku hanya cukup-cukup makan sahaja. Sedih sangat.. walang hatiku ini Tuhan sahaja yang tahu. Namun hati sedih bertukar menjadi terharu apabila emak menghadiahkan sebentuk cincin kepadaku atas keputusanku yang cucup-cukup makan. katanya “ Omak tau ekau dah soho sungguh-sungguh, tak po lah, tak ado joki”. Memang aku akui emak tahu aku berusaha bersungguh-sungguh. Dialah menemankan aku belajar lewat malam kerana aku takut suasana kampung sangat sunyi pada waktu malam. Kadang-kadang bunyi babi bawah rumah pun kedengaran. Tidak kira bunyi burung hantu lagi. Emaklah menemankan aku belajar. Hobi emak membaca. sambil meneman aku dia membaca novel Salina, Daerah Zeni, Seorang Tua di Kaki Gunung dan macam-macam lagilah… buku begitu memang banyak di rumahku kerana bapa saudaraku berkerja di Dewan Bahasa dan Pustaka... ANGAN-ANGAN MASUK UNIVERSITI TERCAPAI Terlalu panjang perjalanan cerita angan-anganku ini sebenarnya. Dipendekkan cerita aku dapat masuk Universiti Pertanian Malaysia setelah memohon sebanyk 2 kali. Tidak cukup dengan itu, aku pergi 2 kali merayu berjumpa Dekan dan Timbalan Dekan fakulti yang aku mohon. Usaha yang tidak pernah kenal erti putus ada akhirnya aku menjadi salah seorang mahasiswi di UPM. ARGH…! alangkah seronoknya. Jurusan yang aku ambil ialah BACELOR SASTERA – PENGKHUSUSAN BAHASA DAN LINGUISTIK MELAYU. Fakulti aku FAKULTI BAHASA MODEN. Kenapa bahasa? Kenapa bahasa Melayu? Senang saja… SRP aku dapat A BM. SPM aku dapat A dan STPM aku dapat A juga.. Itulah yang melayakkan aku mengambil jurusan bahasa Melayu di UPM.
ANGAN-ANGAN JADI CIKGU TERCAPAI
Pendekkan cerita lagi… sudah 8 tahun aku menjadi guru bahasa Melayu. 8 TAHUN… banyak ilmu bahasa yang ingin dikongsi bersama… tetapi ruangku hanya terhad kepada anak didikku di sekolah. Aku ingin melebarkan sayap supaya orang sedar kehadiranku. Laman sembang ini satu platform untuk memperjuangkan bahasa Melayu yang pernah menjadi Lingua Franca pada suatu ketika dahulu. Bukan tidak ada orang lain ingin memperjuangkan bahasa Melayu… Ada. Ramai sangat. Tetapi aku ingin memperjuangkan dari sudut pandangan aku. Tidak dipengaruhi oleh orang lain! Dari sudut pandangan guru bahasa Melayu… yang mengajar anak-anak didik yang beranggapan bahasa Melayu ini mudah… kadang-kadang leceh.. membosankan. Memanglah bosan! Dari tahun 1 hinggalah ke tingkatan 5 belajar bahasa Melayu.11 tahun belajar bahasa Melayu!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan