Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat "Burung Terbang Dipipiskan Lada" bermaksud sudah bersedia untuk mengharapkan hasil yang belum diperolehi atau dengan erti kata lain seseorang yang mengharapkan
sesuatu yang belum pasti.
Peribahasa
“Burung Terbang Dipipiskan Lada” dapat dikesan penggunaannya dalam buku Sejarah Melayu, edisi WG Shellabear, catatan
Tun Seri Lanang. Mungkin tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa
peribahasa ini ialah peribahasa pertama yang disampaikan secara tulisan iaitu pada era kurun ke-15.
Ceritanya
begini...
Sultan Mahmud ingin meminang Puteri Gunung Ledang. Pada hemat sultan,
baginda sudah mengahwini beberapa orang puteri raja dan perkara ini juga
dilakukan oleh raja-raja lain juga. Jadi, Sultan Mahmud ingin berkahwin dengan
orang lain yang tiada ada pada raja-raja lain pada zaman itu.
Justeru, baginda menitahkan Sang Setia, Tun Mamat dan
Hang Tuah untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang digambarkan
gadis yang sangat cantik dan tiada tolok bandingannya pada zaman itu serta tinggal di puncak Gunung
Ledang. Gambaran dalam buku Sejarah
Melayu seperti berikut:
“Jikalau kita hendak beristerikan sama anak
raja, raja lain adalah, yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja
lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyuruh
meminang Puteri Gunung Ledang; Laksamana
dan Sang Setialah kita titahkan.”
Kewujudan
Puteri Gunung Ledang sebenarnya bukanlah sesuatu yang pasti. Andai Puteri
Gunung Ledang wujudpun, belum tentu Puteri Gunung Ledang menerima lamaran
Sultan Mahmud yang terkenal dengan kezalimannya.
Tun
Seri Lanang seorang yang bijak. Kritikan terhadap raja tidak boleh diluahkan secara
terbuka. Jadi menerusi peribahasa
dan disampaikan dalam bentuk pantun
bermaksud Sultan Mahmud seperti orang gila kerana menginginkan sesuatu yang belum
pasti.
Maksud sebenar burung terbang dipipiskan lada ialah burung yang sedang terbang
sangat sukar atau dianggap mustahil untuk ditangkap. Namun begitu, burung itu
belum tentu dapat ditangkap, lada sudah dipipiskan untuk memasak burung itu
dijadikan lauk. Pantunnya dalam buku Sejarah Melayu seperti berikut :
Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Apakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.
* Maksud
pipis mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sudah dilumatkan (dihaluskan).