Carik baju raja,
Dilompati todak,
Bukan disahaja,
Sebab akal budak.
Pantun ini lahir semasa peristiwa Singapura dilanggar todak. Menurut buku Sejarah Melayu Singapura telah dilanggar atau diserang oleh ikan todak . Paduka Seri Maharaja sebagai raja Singapura pada waktu itu telah mengarahkan rakyat jelata berkubukan betis di tepi pantai untuk menahan serangan todak yang banyak itu. Gambaran dalam buku Sejarah Melayu
Maka baginda menitahkan orang berkotakan betis, maka dilompati todak itu, terus berkancing ke sebelah. Adapun todak itu seperti hujan, usahkan kurang, makin banyak orang mati.
Dalam keadaan genting itu, datanglah seorang budak. Budak ini telah memberikan cadangan kepada Paduka Seri Maharaja untuk berkubukan batang pisang. Maka Paduka Seri Maharaja pun menyuruh rakyatnya membuat kubu dengan menggunakan batang pisang. Apabila todak melompat , maka terlekatlah jongornya dan tercacak pada batang pisang. Pada waktu itulah rakyat akan membunuh semua todak yang menyerang Singapura.
Selepas peristiwa ini maka pantun ini dicipta untuk mengggambarkan kecetekan fikiran raja membuat keputusan. Keputusan raja menyuruh rakyat untuk berkubukan betis sangat zalim kerana akan menyebabkan banyak nyawa terkorban. Pada zaman itu, kita tidak boleh mengkritik raja secara terang-terangan. Jika kita mengkritik atau menentang kata raja, kita dianggap derhaka pada raja. Jadi pantun ini dilahirkan untuk mengkritik raja secara tidak langsung.
Secara logiknya pakaian raja dibuat daripada kain yang berkualiti dan tidak mudah terkoyak. Tetapi dalam pantun ini memberitahu kita bahawa baju raja carik hanya disebabkan terkena jongor todak. Seterusnya frasa “ bukan disengaja, sebab akal budak” jelas menunjukkan perkara ini bukan tidak sengaja berlaku tetapi sengaja berlaku.
Baju raja koyak disebabkan akal budak. Baju raja koyak disebabkan kepandaian dan kebijaksaan budak. Baju raja koyak disebabkan budak memberi idea yang bernas. Baju raja koyak disebabkan kebodohan raja membuat keputusan berbanding budak yang masih kecil.
Wallaualambissawab...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan