Indahnya Pantun Melayu

Kajang Pak Malau kajang berlipat,

Kajang saya mengkuang layu;

Dagang Pak Malau dagang bertempat,

Dagang saya musafir lalu.


Pantun ini juga membawa maksud yang mendalam. Mari saya huraikan secara terperinci asal usul pantun ini, maksud pembayang , perkaitan antara pembayang dengan maksud dan maksud sebenar pantun Melayu ini.


Asal usul pantun ini adalah daripada cerita Sri Mersing yang satu ketika dahulu pernah disiarkan di televisyen. Seingat saya saya masih kecil iaitu semasa sekolah rendah lagi. Pantun ini lahir apabila Damak yang datang berdagang di sebuah kampung di Johor telah dihalau oleh penduduk kampung kerana difitnah. Ceritanya bermulanya begini...


Sri Mersing ialah seorang gadis sangat cantik dan ayahnya bernama Pak Malau. Damak pula seorang yang jujur dan ikhlas merantau ke Mersing bersama ibu dan adiknya, Deli. Apabila Damak menyelamatkan Sri Mersing daripada diculik, dia terpaksa berlawan dengan Awang Sulung. Sungguhpun kalah dengan Awang Sulung, tetapi Awang Sulung membuat fitnah yang memaksa Damak keluar dari kampung tersebut.


Ayah Sri Mersing, Pak Malau mendapat tahu bahawa Awanglah sebenarnya yang menjadi dalang di sebalik penculikkan Sri Mersing. Walaupun Pak Malau cuba memujuk Damak dan keluarganya, namun Damak tetap dengan pendiriannya membawa diri dari kampung tersebut. Semasa Pak Malau memujuk Damak, maka Damak menjawab dengan pantun ini.


HURAIAN BARIS PEMBAYANG PANTUN

Kajang bermaksud atap yang dibuat daripada daun mengkuang dan nipah. Maksud pembayang ini ialah atap Pak Malau atapnya berlipat elok, manakala atap Damak dibuat menggunakan mengkuang yang sudah layu sahaja.


Dalam erti kata lain, tempat berteduh Pak Malau menggunakan atap yang elok tetapi tempat berteduh Damak menggunakan mengkuang yang sudah layu dan berkemungkinan atapnya tidak tahan lama berbanding Pak Malau.


Maksud pembayang ini secara tersiratnya ialah Pak Malau tinggal di kampung ini tidak mengalami apa-apa masalah kerana dilayan dengan elok. Manakala Damak pula yang datang sebagai pedagang di kampung ini telah difitnah, walaupun niatnya baik iaitu untuk menyelamatkan Sri Mersing daripada diculik.


HURAIAN BARIS MAKSUD PANTUN

Maksud pantun ini membawa maksud bahawa Pak Malau berdagang ke kampung Mersing ini bertempat. Maksud bertempat di sini ialah ada tempat untuk berlindung, tiada orang yang ingin menabur fitnah dan sakit hati terhadap Pak Malau.


Namun Damak yang datang berdagang ke kampung Mersing seperti musafir yang lalu sahaja. Walaupun niatnya baik tetapi dia telah difitnah oleh Awang Sulung.

6 ulasan:

missnurulsks271 berkata...

Tq. I never thought the meaning would be this deep. It is really a nicely strung words :)

Tanpa Nama berkata...

TERIMAKASIH di atas blog amat hebat dan indah ini; yang mempertahankan budaya dan warisan bangsa Bumiputera Islam/Melayu kita ini!

Unknown berkata...

Content baik dan menarik.... Pasal apa la pilih kombinasi kaler ni sakit mata viewer nk baca terus xda mood nk baca content

Tanpa Nama berkata...

betol...naik rabun mata

Tanpa Nama berkata...

Terjojol bijik mata aku nak baca font kaler kuning, terus exit page

Tanpa Nama berkata...

Content menarik. Warna font tu menyakitkan mata. terpaksa highlight semua baru dapat baca, tukar font hitam senang.