Bahasa Melayu Merentas Fizik - Bagai mencurah air ke daun keladi



Bagai mencurah air ke daun keladi


Keladi adalah sejenis tumbuhan yang  mempunyai permukaan daunnya kalis air atau  tidak basah (keadaan tidak menyerap) jika dicurahkan air ke atasnya. Melalui pemerhatian ini terciptalah peribahasa bagai mencurah air ke daun keladi iaitu membawa maksud perlakuan menasihati seseorang yang tidak mengendahkan nasihat yang telah diberikan kepadanya




 






















Persoalanya sekarang, mengapa air yang dicurahkan ke daun keladi  tidak membasahi daun keladi tersebut.

Sebenarnya …

Air mempunyai daya lekitan (daya antara zarah-zarah yang sama) yang lemah dan daya lekatan (daya tarikan antara zarah-zarah yang berbeza) yang tinggi. Maka air lebih cenderung untuk melekat pada suatu permukaan yang bersentuh dengannya (membasahi). 

Sifat air itu sendiri mempunyai daya lekitan. Air akan melekat pada permukaan. Tetapi air tiada daya lekitan. Justeru, secara amnya air tidak akan boleh berkumpul membentuk bentuk bulat.


Daun keladi pula kalis air dan menyebabkan air tidak menyerap.  Apabila air tidak menyerap maka air akan berkumpul dalam bentuk bulat. Makanya daya lekatan air tidak berdaya apabila melawan daun keladi.




Merujuk kamus Dewan Edisi keempat :

Lekatan  bermaksud  keadaan yang melekat di atara satu permukaan dengan permukaan yang lain

Melekit  bermaksud mudah melekat seperti benda yang bergetah, kanji  dan air gula.

Wallahua'lam…

Rumpun bagai serai, seliang bagai tebu

Maksud peribahasa ini adalah selalu bersatu hati dalam segala hal.
       Peribahasa ini lahir daripada pemerhatian orang zaman dahulu iaitu pokok serai tumbuh dalam rumpun atau berkelompok seolah-olah berkongsi akar.



    Tebu pula tumbuh seliang dalam satu lubang yang sama. Maka berdasarkan pemerhatian ini menunjukkan sesuatu itu dikatakan seperti serumpun serai atau seliang tebu apabila kehidupan dalam kelompok masyarakat yang sentiasa bermuafakat.



Contoh ayat seperti berikut :

Sesebuah masyarakat haruslah hidup  bermuafakat untuk menjayakan sesuatu program bak rumpun bagai serai, seliang bagai tebu.

Bahasa Melayu Merentas Fizik- Telur di Hujung Tanduk



Bagai telur di hujung tanduk bermaksud situasi seseorang  yang berada dalam keadaan amat sulit. Seandainya berlaku kesilapan akan mendapat bahaya.

Situasi yang mungkin dapat menggambarkan peribahasa ini seumpama apabila peperangan melanda di sesebuah negara, maka boleh digambarkan nyawa rakyat jelatanya berada dalam keadaan terancam dan sangat bahaya. Hal ini disebabkan pada bila-bila masa sahaja akan terkena letupan bom atau pada bila-bila masa sahaja akan terkena tembakan peluru sesat.

Kenapakah diambil anafora telur di hujung tanduk? Apakah logiknya?  Ya, logiknya, telur yang berada di hujung tanduk akan jatuh pada bila-bila masa sahaja kerana sifat telur itu bulat dan permukaannya licin. Manakala tanduk pula bersifat tajam dan runcing di hujungnya.
Penjelasan  hukum fiziknya pula mengapakah telur itu mudah jatuh jika berada di hujung tanduk? Mari kita ungkai persoalan ini.

Sebenarnya …

Tekanan merupakan jumlah daya per unit luas. (Tekanan = Daya bahagi Luas permukaan)
 Keadaan ini bermaksud apabila semakin kecil luas permukaan sesuatu objek, maka semakin tinggi tekanan yang dialaminya.


 Contohnya paku itu tajam sifatnya kerana luas permukaannya kecil. Apabila terkena daya (perbuatan menekan) yang tinggi maka akan terhasil tekanan yang tinggi. Makanya tekanan yang tinggi akan menyebabkan paku yang tajam dapat masuk ke dalam papan.

Jika dibandingkan dengan hal keadaan telur di hujung tanduk ini, permukaan hujung tanduk sangat kecil. Kedudukan telur menjadi tidak stabil dan boleh jatuh pada bila-bila masa. Apabila telur terjatuh maka secara logiknya telur akan pecah. 

Telur ini pecah disebabkan mengalami daya impuls. Daya impuls ini bergantung kepada kadar perubahan momentum. Perubahan momentum yang tinggi dan masa perubahan yang singkat akan menghasilkan daya impuls yang besar. Daya impuls yang besar akan memberikan impak yang tinggi dan mengakibatkan telur itu pecah.

Dari sudut pandang yang lain pula. Seandainya daya sama, tetapi luas yang berbeza akan memberi tekanan yang berbeza. Contohnya seseorang memakai kasut sukan berdiri di tempat yang sama tetapi tidak tenggelam. Namun apabila dia memakai kasut tumit, kasut itu akan tenggelam disebabkan tekanan. 

Jadi hukum fizik ini boleh memberi penjelasan bahawa apabila telur berada di hujung tanduk dibimbangi akan jatuh dan pecah. Situasi ini jelas menunjukkan keadaan yang meruncing dan bahaya.


Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua definisi momentum  ialah daya yang menolong menggerakkan sesuatu atau hasil darab jisim dengan halaju sesuatu jasad.