Indanya Pantun Melayu

Kalau belayar janganlah belok,

Kalau berbelok patah tiangnya;

Orang muda jangan dipeluk,

Kalau peluk patah pinggangnya.


Orang zaman dahulu berlayar berpandukan arah angin. Contohnya apabila pelayar ingin ke timur, maka pelayar akan menunggu angin bertiup dari arah barat ke timur. Maka pada waktu itulah masa yang sesuai untuk belayar. Sesebuah kapal akan bergerak jika kain layar kapal ditolak. Angin yang bertiup di lautan sudah semestinya sangat kencang sehinggakan boleh membawa kapal ke arah yang dikehendaki.


Jadi apabila kapal sedang berlayar kita tidak boleh membelok sewenang-wenangnya kerana akan menyebabkan tiang yang menjadi penyokong layar akan patah. Apabila tiang kapal ini patah akan membawa masalah yang sangat besar kerana kapal tidak dapat meneruskan perjalanan dan terapung-apunglah di lautan.


Maksud pembayang ini mempunyai kesinambungan dengan maksud sebenar pantun. Pemantun mengingatkan kita semua bahawa janganlah memeluk orang muda kerana jika dipeluk nescaya patah pinggangnya. Patah pinggangnya bermaksud akan hilanglah pertimbangan anak muda itu. Patah pinggangnya menggambarkan terlentoklah badannya pada seseorang yang cuba memeluknya.

Patah pinggangnya sebagai kiasan bahawa tiada penolakkan daripada anak muda tetapi akan membalasnya dengan memeluknya kembali. Apabila keadaan ini berlaku akan menyebabkan masalah besar seperti zina.


Keadaan ini disamakan dengan kapal tadi yang mengalami masalah besar kerana terdampar di tengah-tengah lautan. Sudah terang lagikan bersuluh, pembayang dan maksud pantun mempunyai kelogikan dan kesamaan maksud yang jelas.

Tiada ulasan: