Tuah oh Tuah

CERITA SEBALIK PERTARUNGAN TUAH DAN JEBAT

TAAT TUAH TIDAK BERBELAH BAHAGI…

        Umum sudah maklum, bahawa Hang Tuah ialah super hero orang Melayu yang begitu setia dengan sultannya. Sultan Melaka yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas dirinya pun , si Tuah ini masih lagi setia berkhidmat dengan sultan yang terkenal dengan kezalimannya. Cerita ini sudah tidak asing lagi. Hang Tuah sanggup membunuh sahabat baiknya Hang Jebat atas titah perintah Sultan Melaka. Walhal, Jebat menderhaka pada Sultan kerana Sultan menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah tanpa usul periksa.

BODOHKAH HANG TUAH?

      Namun persoalan sekarang, adakah Hang Tuah begitu bodoh mentaati sultan dengan membuta tuli? Adakah Tuah tidak dapat berfikiran waras dan membezakan mana yang betul dan mana yang salah? Bodohkah super hero orang Melayu ini yang berpegang teguh dengan prinsip “TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA”? Benar, Hang tuah setia, benar, Hang Tuah taat, benar juga Hang Tuah tidak mahu Sultan mati di tangan Hang Jebat. Tetapi, sejauh mana kebenaran Hang Tuah setia kepada sultan Melaka ini? Mari kita ungkai segalanya…

FITNAH TERBESAR ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

      Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa oleh sultan atas fitnah yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Melaka. Fitnahnya ialah Tuah telah dituduh bermukah dengan salah seorang gundik raja. Keris Taming Sari telah dirampas daripada Hang Tuah. Bendahara pula telah dititahkan untuk melaksanakan hukuman bunuh itu. Namun, Bendahara tidak cepat melatah. Bendahara telah menyembunyikan Hang tuah di Hulu Melaka.

RAJA ADIL RAJA DISEMBAH, RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH

      Hang Jebat. Nama yang cukup sinonim dengan penderhakaan kepada raja. Jebat berpegang pada prinsip “RAJA ADIL RAJA DISEMBAH, RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH”. Jebat seorang yang bijak. Hang Jebat tidak mengamuk sejurus sahaja Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh. Jebat menunggu sultan menyerahkan Keris Taming Sari kepadanya kerana dia tahu dia adalah pahlawan Melaka yang paling layak memiliki keris Taming Sari selepas Hang Tuah. Apabila Hang Jebat dianugerahkan keris Taming Sari, hatta bermulalah siri penderhakaan Hang Jebat.

HEBATNYA AMUKAN JEBAT

      Hang Jebat mengamuk. Hang Jebat telah menghuru-harakan Melaka. Banyak rakyat Melaka terkorban di tangan Hang Jebat. Tiada sesiapa yang dapat membunuh Hang Jebat kerana kekebalannya. Pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh Jebat dek kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Sultan menjatuhkan hukuman terhadap sahabat baiknya tanpa usul periksa.

ROSAK BAWANG DITIMPA JAMBAKNYA

      Sehinggalah Hang Jebat dapat menawan istana Melaka. Pada Hang Jebat, sekali buat jahat, biar buat jahat betul-betul. Jika , dia menyerah diripun, dia masih akan dihukum bunuh. Ketika dapat menawan istana Melaka, Hang Jebat telah membunuh 700 orang dayang istana. Keadaan sudah menjadai kritikal sebegini , baharulah Bendahara memberitahu sultan bahawa beliau telah menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka.

TITAH RAJA DITURUTKAN JUA

      Sultan Melaka pada ketika itu tanpa berlengah lagi memerintahkan Hang Tuah membunuh Hang Jebat. Salah Bendahara menipunya tidak di pedulikannya lagi. Perkara yang penting sekarang nyawanya harus diselamatkan. Hang Jebat tidak akan berhenti mengamuk selagi Sultan Melaka tidak dapat dibunuhnya. Hatta, Hang Tuah pergi ke istana Melaka untuk bertemu dengan sahabat baiknya sambil menjunjung titah perintah sultan. Bermulalah adegan pertempuran yang sengit antara dua sahabat baik ini. Berhari-hari mereka bertarung. Menangis Hang Jebat dan Hang Tuah kerana mengenangkan nasib terpaksa berbunuhan sesama sendiri. Walang hati Tuah Allah sahaja yang tahu…

YANG SEBENARNYA…

      Berbalik kepada persoalan asal. Mengapa Tuah begitu setia dengan sultan yang zalim ini? YANG SEBENARNYA, Tuah bukannya ingin mempertahankan Sultan Melaka, tetapi ingin mempertahankan keturunan Kesultanan Melayu Melaka. Cuba kita bayangkan jika Hang Tuah tidak membunuh Hang Jebat, nescaya Hang Jebat akan membunuh sultan juga akhirnya dek kekebalan dirinya memiliki Keris Taming Sari. Jebat tidak akan membunuh sultan  sahaja tetapi seluruh isi keluarga di raja akan dibunuhnya. Jika perkara ini terjadi, maka tiadalah keturunan raja-raja Melaka lagi. Tiadalah ketuanan Melayu lagi kerana tonggak utama orang Melayu iaitu raja sudah tiada. Perkara inilah yang ingin dipertahankan oleh super hero orang Melayu ini. Buka bodoh, bukan taat membuta tuli dan bukan juga tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk, tetapi Tuah berpandangan jauh sebenarnya… Maka sesuailah yang diperjuangkan oleh Hang Tuah iaitu TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA. Wallahualamhissawab.

2 ulasan:

jiepo berkata...

cikgu slah eja laa yg ayat " BUKA bodo, bukan taat membuta tuli dan....................."

PERENUNG LANGIT berkata...

Apakah bila Sultan Melaka dibunuh, maka orang melayu tidak bersultan lagi? Bukankah Sultan Johor tetap ada walaupun keturunan Sultan Melaka suduh putus dengan Sultan mahmud mangkat di julang? Minta Cikgu jelaskan...hehe