KELAZIMAN YANG SALAH


Penggunaan ‘apabila’ dan ‘bila’.

Ada segelintir berpendapat bahawa bila dan apabila adalah kata yang sama maknanya dan tidak perlu dibezakan penggunaannya.

SEBENARNYA...

Apabila tergolong dalam kata Hubung. Contoh lain kata Hubung yang lain ialah ketika, dan,  tetapi, lalu, kemudian, dan sebagainya. Manakala bila pula tergolong dalam jenis kata Tanya. Contoh lain kata Tanya ialah apa, mengapa, bagaimana, dan sebagainya. Justeru, kata Tanya bila hanya boleh digunakan dalam ayat Tanya untuk menanyakan masa.

Jadi, keratan akhbar di atas jelas menunjukkan kesalahan penggunaan
kata bila. Sepatutnya seperti  berikut :

RANCANG PERSIAPAN APABILA MELANCONG

````````````````````````````````````````````````````````````````````





Penggunaan ‘berbahaya’ dan ‘merbahaya

Dalam hukum tatabahasa Melayu tidak pernah ada awalam mer- . Namun, yang menjadi persoalan sekarang, mengapakah ada orang menggunakan kata merbahaya?

SEBENARNYA...                                                                   

Hal ini terjadi apabila berlaku kesilapan transkripsi daripada ejaan Jawi kepada Rumi. Dalam sastera lama, kata marabahaya ditulis seolah-olah merbahaya. Ejaan Jawi pada peringkat awal menggunakan baris atas, bawah dan hadapan untuk menentukan bunyi yang tepat. Dalam evolusi selanjutnya baris-baris itu digugurkan apabila orang telah lazim dengan sebutan yang betul. Gabungan huruf mim dan ra memang menghasilkan bunyi mer, tetapi dalam sastera lama, huruf mim mewakili satu suku kata, iaitu ma dan huruf ra mewakili satu suku kata lain, iaitu ra. Jadi, di sebalik mer, bunyinya ialah mara.

Jadi papan tanda merbahaya di atas salah dari segi ejaannya. Sepatutnya seperti berikut :

AWAS
SELEKOH  BERBAHAYA
DI HADAPAN

``````````````````````````````````````````````````````````````


 
Penggunaan ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’

Selalu kita terlihat di papan iklan tertulis penghawa dingin atau hawa dingin. Frasa ini salah kerana  bermaksud dingin diberi hawa. Dingin tidak memerlukan hawa. Sebaliknya , hawa ada yang dingin dan ada yang panas.

SEBENARNYA ...

Cuaca yang panas menyebabkan hawa panas. Hawa panas menyebabkan kita berasa tidak selesa. Oleh itu, hawa yang panas perlu didinginkan. Untuk mendinginkan hawa, kita memerlukan alat  pendingin hawa. Oleh sebab itu, alat tersebut tidak sepatutnya disebut sebagai penghawa dingin, sebaliknya pendingin hawa. Maknanya jelas dan tepat. Sebaliknya, penghawa dingin tidak menimbulkan makna apa-apa.

Jadi papan tanda perniagaan di atas jelas salah penggunaannya. Sepatutnya seperti berikut :

AKSESORI  & PENDINGIN HAWA






3 ulasan:

Nur Amira Ilyani berkata...

Oh, kalau 'merasa' dan ' berasa' macam mana pula eh cikgu?
Rasanya cikgu pernah terangkan dulu. tapi saya lupa.
HEHE

lindar nor berkata...

Amira...

Merasa bermaksud :

1. Mengalami rasa dengan lidah.

Contoh ayat :
Cida merasa masakan ibu dengan menggunakan sudu.

2. Mengalami rasa (sakit) pada tubuh.

Contoh ayat :
Cikgu Doren merasa luka di kakinya dengan menggunakan jari telunjuk.

Manakala berasa pula bermaksud :

1. Mendapat rasa ( yang dialami oleh bahagian-bahagian badan )

Contoh ayat :
Kaki Siti Norbahayah berasa sakit kerana berjalan sepanjang hari.

2. Mempunyai rasa

Contoh ayat :
Oleh sebab banyak sangat garam, masakan Aina Jamaiah berasa masin sehingga tidak dapat dimakan.

3. Mengalami rasa di dalam hati (batin)
Contoh ayat :
Amira Ilyani berasa sangat gembira kerana dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM tahun 2010.

Nur Amira Ilyani berkata...

Ohhh, baru tahu. Kenapa lah tak tanya awal awal ni, kalau tak yang no 3 tu dah termakbul dah. hehehehhehehe.

*Nama contoh comel comel belaka. :)