KELAZIMAN YANG SALAH


Penggunaan ‘apabila’ dan ‘bila’.

Ada segelintir berpendapat bahawa bila dan apabila adalah kata yang sama maknanya dan tidak perlu dibezakan penggunaannya.

SEBENARNYA...

Apabila tergolong dalam kata Hubung. Contoh lain kata Hubung yang lain ialah ketika, dan,  tetapi, lalu, kemudian, dan sebagainya. Manakala bila pula tergolong dalam jenis kata Tanya. Contoh lain kata Tanya ialah apa, mengapa, bagaimana, dan sebagainya. Justeru, kata Tanya bila hanya boleh digunakan dalam ayat Tanya untuk menanyakan masa.

Jadi, keratan akhbar di atas jelas menunjukkan kesalahan penggunaan
kata bila. Sepatutnya seperti  berikut :

RANCANG PERSIAPAN APABILA MELANCONG

````````````````````````````````````````````````````````````````````





Penggunaan ‘berbahaya’ dan ‘merbahaya

Dalam hukum tatabahasa Melayu tidak pernah ada awalam mer- . Namun, yang menjadi persoalan sekarang, mengapakah ada orang menggunakan kata merbahaya?

SEBENARNYA...                                                                   

Hal ini terjadi apabila berlaku kesilapan transkripsi daripada ejaan Jawi kepada Rumi. Dalam sastera lama, kata marabahaya ditulis seolah-olah merbahaya. Ejaan Jawi pada peringkat awal menggunakan baris atas, bawah dan hadapan untuk menentukan bunyi yang tepat. Dalam evolusi selanjutnya baris-baris itu digugurkan apabila orang telah lazim dengan sebutan yang betul. Gabungan huruf mim dan ra memang menghasilkan bunyi mer, tetapi dalam sastera lama, huruf mim mewakili satu suku kata, iaitu ma dan huruf ra mewakili satu suku kata lain, iaitu ra. Jadi, di sebalik mer, bunyinya ialah mara.

Jadi papan tanda merbahaya di atas salah dari segi ejaannya. Sepatutnya seperti berikut :

AWAS
SELEKOH  BERBAHAYA
DI HADAPAN

``````````````````````````````````````````````````````````````


 
Penggunaan ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’

Selalu kita terlihat di papan iklan tertulis penghawa dingin atau hawa dingin. Frasa ini salah kerana  bermaksud dingin diberi hawa. Dingin tidak memerlukan hawa. Sebaliknya , hawa ada yang dingin dan ada yang panas.

SEBENARNYA ...

Cuaca yang panas menyebabkan hawa panas. Hawa panas menyebabkan kita berasa tidak selesa. Oleh itu, hawa yang panas perlu didinginkan. Untuk mendinginkan hawa, kita memerlukan alat  pendingin hawa. Oleh sebab itu, alat tersebut tidak sepatutnya disebut sebagai penghawa dingin, sebaliknya pendingin hawa. Maknanya jelas dan tepat. Sebaliknya, penghawa dingin tidak menimbulkan makna apa-apa.

Jadi papan tanda perniagaan di atas jelas salah penggunaannya. Sepatutnya seperti berikut :

AKSESORI  & PENDINGIN HAWA






Istilah bahasa Melayu - Wujud tapi jarang digunakan.

Sempelah / Sempolah 
maksudnya tidak berguna ( orang )
Contoh ayat  - Janganlah kita dilabelkan remaja yang sempolah kerana sentiasa berkelakuan buruk.


Tunabusana 
Maksudnya bogel, telanjang, tidak berpakaian.
Contoh ayat - Adik dimarahi ibu kerana tunabusana ketika mandi hujan di halaman rumah.


Cempera/ Bercempera 
Maksudnya berpecah belah ke sana sini, bertempiaran, bercerai-berai.
Contoh ayat - Penagih dadah di lorong itu lari bercempera apabila polis melakukan serbuan.

IKUT RESMI PADI , SEMAKIN BERISI SEMAKIN TUNDUK







Padi yang belum berisi




Padi yang telah berisi, semakin tunduk









Sememangnya padi apabila semakin berisi semakin tunduk tangkainya jika dibandingkan padi yang belum sepenuhnya berisi

Pemerhatian daripada kejadian ini maka lahirlah peribahasa IKUT RESMI PADI, SEMAKIN BERISI SEMAKIN TUNDUK yang bermaksud semakin  banyak ilmu maka semakin merendah dirilah seseorang itu.

KECIL TAPAK TANGAN, NYIRU KAMI TADAHKAN


Nyiru ialah sejenis alat yang dianyam daripada bilah rotan untuk menampi beras. Apabila seseorang ingin memberikan sesuatu tetapi tidak cukup tangan ditadahkan maka nyiru tadahkan kerana nyiru lebih besar daripada tangan. Selain itu, orang dahulu  sentiasa menggunakan nyiru untuk mengisi barang- barang.  Melalui keadaan dan pemerhatian ini, hatta orang-orang dahulu telah mewujudkan  peribahasa ini iaitu sangat menghargai pemberian seseorang.