Asal usul bunyi binatang


Mari kita mengenali asal usul bunyi binatang.

Bunyi kerbau...
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Kenapa menguak ? Hal ini demikan kerana,  bunyi kerbau sebenarnya ‘uak’.
Contoh ayat : Kerbau menguak di dalam kandangnya kerana mahu dilepaskan.

Bunyi lembu...
Bunyi lembu pula? Bunyi lembu  ‘lenguh’. Jadi. orang kata bunyi  lembu melenguh.
Tidak cukup dengan itu, ‘boh’ juga bunyi untuk  lembu, jadi bunyi lembu juga mengeboh.
Contoh ayat : Anak lembu itu mengeboh kerana terpisah daripada ibunya.

Bunyi ayam...
‘Kokok’  ialah bunyi ayam jantan yang berlarut-larut (biasanya pada waktu subuh) dan secara tidak langsung bunyinya berkokok.
‘Ketuk’  pula  bunyi ayam yang baru selesai bertelur. Bunyinya berketuk.
Harus diingat juga, ‘keok’ (kéok) bunyi ayam ketika ditangkap atau kerana ketakutan. Bunyinya berkeok-keok,
Contoh ayat : Pada satu  malam, kami terkejut oleh bunyi bising ayam berkeokan di bawah rumah. 

Bunyi kucing...
‘Iau’ ialah bunyi kucing. Jadi bunyinya mengiau .
‘Eong’  juga bunyi kucing. Justeru, bunyinya mengeong
Contoh ayat : Dari tadi lagi, kucing itu mengeong, lapar agaknya.
Tambahan lagi, ‘dekus’ juga bunyi kucing. Mendekus bermaksud mengeluarkan bunyi yang menghembus-hembus, mendengus.

Bunyi kuda...
Kalau kuda macam mana? Kuda bunyinya  ‘ringkik’. Jadi, orang kata bunyi kuda meringkik. Seandainya kuda itu berbunyi berulang-ulang kali, maka bunyinya meringkik-ringkik.
Contoh ayat : Kuda liar itu meringkik-ringkik kerana baru saja ditangkap dan dimasukkan di dalam kandang.

Bunyi harimau...
Harimau pula? ‘aum’ lah bunyinya. Justeru, orang kata bunyi harimau mengaum. Sebenarnya bunyi ‘aum’  ini juga merujuk kepada bunyi singa.
Contoh ayat : Harimau jantan itu mengaum kerana berebut makanan dengan harimau lain.

Bunyi anjing ...
Anjing pula ? Bunyi anjing banyak. Harus mengikut situasi.
Umumnya bunyi anjing bunyi ‘keng’ . Selain berbunyi ‘keng’,   bunyinya juga dengkung-dengking.
Andai anjing sedang bermanja dengan tuannya ( merengek ) atau menangis terisak-isak. Jadi bunyinya mengongoi.
Contoh ayat : Anjing itu mengongoi manja di kaki tuannya.
Sekiranya anjing itu dipukul maka bunyinya ‘kung’.

Bunyi itik...
‘Kuek’ (kuék) bunyi seperti bunyi itik, maka bunyinya berkuek.
Contoh ayat : Tiada seekor pun itik yang berkuek hari ini.
Malah ada yang mengatakan bunyi itik berkuek-kuek.  Berkuek-kuek bermaksud  berulang kali berkuek.
Contoh ayat :  Itik-itik itu berkuek-kuek di tepi kolam.


Sumber rujukan Kamus Dewan Edisi Keempat ( Dewan Bahasa dan Pustaka)




Asal Usul Peribahasa - Burung Terbang Dipipiskan Lada


Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat "Burung Terbang Dipipiskan Lada" bermaksud sudah bersedia untuk mengharapkan hasil yang belum diperolehi atau dengan erti kata lain seseorang yang  mengharapkan sesuatu yang belum pasti.

Peribahasa “Burung Terbang Dipipiskan Lada” dapat dikesan penggunaannya dalam buku Sejarah Melayu, edisi WG Shellabear, catatan Tun Seri Lanang. Mungkin tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa peribahasa ini ialah peribahasa pertama yang disampaikan secara tulisan iaitu pada era kurun ke-15.




Ceritanya begini... 

Sultan Mahmud ingin meminang Puteri Gunung Ledang. Pada hemat sultan, baginda sudah mengahwini beberapa orang puteri raja dan perkara ini juga dilakukan oleh raja-raja lain juga. Jadi, Sultan Mahmud ingin berkahwin dengan orang lain yang tiada ada pada raja-raja lain pada zaman itu.

Justeru,  baginda menitahkan Sang Setia, Tun Mamat dan Hang Tuah untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang digambarkan gadis yang sangat cantik dan tiada tolok bandingannya pada zaman itu serta tinggal di puncak Gunung Ledang. Gambaran dalam buku Sejarah Melayu seperti berikut:

“Jikalau kita hendak beristerikan sama anak raja, raja lain adalah, yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyuruh meminang  Puteri Gunung Ledang; Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.”

Kewujudan Puteri Gunung Ledang sebenarnya bukanlah sesuatu yang pasti. Andai Puteri Gunung Ledang wujudpun, belum tentu Puteri Gunung Ledang menerima lamaran Sultan Mahmud yang terkenal dengan kezalimannya.

Tun Seri Lanang seorang yang bijak. Kritikan terhadap raja tidak boleh diluahkan secara terbuka. Jadi menerusi  peribahasa dan  disampaikan dalam bentuk pantun bermaksud Sultan Mahmud seperti orang gila kerana menginginkan sesuatu yang belum pasti. 

Maksud sebenar burung terbang dipipiskan lada ialah burung yang sedang terbang sangat sukar atau dianggap mustahil untuk ditangkap. Namun begitu, burung itu belum tentu dapat ditangkap, lada sudah dipipiskan untuk memasak burung itu dijadikan lauk. Pantunnya dalam buku Sejarah Melayu seperti berikut :

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Apakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

* Maksud pipis mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sudah dilumatkan (dihaluskan).