Asal Usul Peribahasa - Burung Terbang Dipipiskan Lada


Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat "Burung Terbang Dipipiskan Lada" bermaksud sudah bersedia untuk mengharapkan hasil yang belum diperolehi atau dengan erti kata lain seseorang yang  mengharapkan sesuatu yang belum pasti.

Peribahasa “Burung Terbang Dipipiskan Lada” dapat dikesan penggunaannya dalam buku Sejarah Melayu, edisi WG Shellabear, catatan Tun Seri Lanang. Mungkin tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa peribahasa ini ialah peribahasa pertama yang disampaikan secara tulisan iaitu pada era kurun ke-15.




Ceritanya begini... 

Sultan Mahmud ingin meminang Puteri Gunung Ledang. Pada hemat sultan, baginda sudah mengahwini beberapa orang puteri raja dan perkara ini juga dilakukan oleh raja-raja lain juga. Jadi, Sultan Mahmud ingin berkahwin dengan orang lain yang tiada ada pada raja-raja lain pada zaman itu.

Justeru,  baginda menitahkan Sang Setia, Tun Mamat dan Hang Tuah untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang digambarkan gadis yang sangat cantik dan tiada tolok bandingannya pada zaman itu serta tinggal di puncak Gunung Ledang. Gambaran dalam buku Sejarah Melayu seperti berikut:

“Jikalau kita hendak beristerikan sama anak raja, raja lain adalah, yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyuruh meminang  Puteri Gunung Ledang; Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.”

Kewujudan Puteri Gunung Ledang sebenarnya bukanlah sesuatu yang pasti. Andai Puteri Gunung Ledang wujudpun, belum tentu Puteri Gunung Ledang menerima lamaran Sultan Mahmud yang terkenal dengan kezalimannya.

Tun Seri Lanang seorang yang bijak. Kritikan terhadap raja tidak boleh diluahkan secara terbuka. Jadi menerusi  peribahasa dan  disampaikan dalam bentuk pantun bermaksud Sultan Mahmud seperti orang gila kerana menginginkan sesuatu yang belum pasti. 

Maksud sebenar burung terbang dipipiskan lada ialah burung yang sedang terbang sangat sukar atau dianggap mustahil untuk ditangkap. Namun begitu, burung itu belum tentu dapat ditangkap, lada sudah dipipiskan untuk memasak burung itu dijadikan lauk. Pantunnya dalam buku Sejarah Melayu seperti berikut :

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Apakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

* Maksud pipis mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sudah dilumatkan (dihaluskan).