Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.
Hakikatnya, kewujudan pantun tradisi popular ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu Riau pada zaman dulu yang menggunakan jalan air sebagai laluan pengangkutan utama. Tambahan pula, Pulau Lingga adalah bekas pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Johor Riau Lingga, kesinambungan runtuhnya kerajaan Melayu Melaka.
GUNUNG DAIK
Sudah pasti suatu ketika dulu, laluan di situ sibuk dengan kapal pedagang
dan aktiviti harian, jadi tidak hairanlah bijak pandai bahasa mencipta pantun
berkenaan berdasarkan keadaan yang mereka lihat di sekeliling mereka.
Perkaitan pembayang pantun ini sangat jelas sebenarnya. Gunung Daik ini menjadi penanda kepada pedagang untuk ke Pulau Lingga. Dalam perjalanan ke Pulau Lingga pedagang-pedagang mesti melalui Pulau Pandan.
PULAU PANDAN
Sememangnya Pulau Pandan berada nun jauh di tengah laut. Saiznya
yang kecil dan dianggarkan ada lebih kurang
10 batang pokok di pulau ini. Pulau Pandan ini dipenuhi batu tanpa dihuni oleh manusia.
Sekadar cukup untuk bot kecil berteduh daripada ribut. Ada yang mengatakan, pedagang-pedagang tidak akan sesat jika mereka
berlayar di laut berpandukan Gunung Daik
yang berada di Pulau Lingga iaitu
sebagai penanda untuk sampai ke Pulau
Lingga.
Gunung Daik itu dikategorikan sebagai gunung tidak aktif
dengan ketinggian 1,165 meter dari aras laut. Puncak paling tinggi digelar
Gunung Daik, puncak kedua, Pejantan atau Pinjam Pinjaman dan puncak terendah,
Cindai Menangis.
PERKAITAN PEMBAYANG PANTUN DENGAN MAKSUD PANTUN
Berdasarkan penerangan di atas, Pulau Pandan dan Gunung Daik
sememangnya menabur budi kepada pedagang-pedagang dari Melaka ke Pulau Lingga.
Pedagang-pedagang yang ingin ke Pulau Lingga haruslah melalui Pulau Pandan yang
berada di tengah laut dan menggunakan Gunung Daik sebagai penanda supaya tidak
sesat untuk sampai ke destinasi iaitu Pulau Lingga.
Nama Pulau Pandan dan
Gunung Daik sering disebut-sebut oleh pedagang untuk berdagang ke Pulau Lingga. Samalah maksud
pantun ini iaitu orang yang berbudi akan
setiasa di kenang walaupun sudah meninggal dunia...
**Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud budi ialah sifat baik, perbuatan baik, kebajikan
dan berbudi pula bermaksud baik hati, pemurah.