Indahnya Pantun Melayu



Pulau  Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Hakikatnya, kewujudan pantun tradisi popular ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu Riau pada zaman dulu yang menggunakan jalan air sebagai laluan pengangkutan utama. Tambahan pula, Pulau Lingga adalah bekas pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Johor Riau Lingga, kesinambungan runtuhnya kerajaan Melayu Melaka.

 
 GUNUNG DAIK

Sudah pasti suatu ketika dulu, laluan di situ sibuk dengan kapal pedagang dan aktiviti harian, jadi tidak hairanlah bijak pandai bahasa mencipta pantun berkenaan berdasarkan keadaan yang mereka lihat di sekeliling mereka.






Perkaitan pembayang pantun ini sangat jelas sebenarnya. Gunung Daik ini menjadi penanda kepada pedagang untuk  ke Pulau Lingga. Dalam perjalanan ke Pulau Lingga pedagang-pedagang mesti melalui Pulau Pandan.

PULAU PANDAN


Sememangnya Pulau Pandan berada nun jauh di tengah laut. Saiznya yang kecil dan dianggarkan ada  lebih kurang 10 batang pokok di pulau ini. Pulau Pandan ini dipenuhi batu tanpa dihuni oleh manusia. Sekadar cukup untuk bot kecil berteduh daripada ribut. Ada yang mengatakan,  pedagang-pedagang tidak akan sesat jika mereka berlayar di laut berpandukan  Gunung Daik  yang berada di Pulau Lingga iaitu sebagai  penanda untuk sampai ke Pulau Lingga.

Gunung Daik itu dikategorikan sebagai gunung tidak aktif dengan ketinggian 1,165 meter dari aras laut. Puncak paling tinggi digelar Gunung Daik, puncak kedua, Pejantan atau Pinjam Pinjaman dan puncak terendah, Cindai Menangis. 

PERKAITAN PEMBAYANG PANTUN DENGAN MAKSUD PANTUN

Berdasarkan penerangan di atas, Pulau Pandan dan Gunung Daik sememangnya menabur budi kepada pedagang-pedagang dari Melaka ke Pulau Lingga. Pedagang-pedagang yang ingin ke Pulau Lingga haruslah melalui Pulau Pandan yang berada di tengah laut dan menggunakan Gunung Daik sebagai penanda supaya tidak sesat untuk sampai ke destinasi iaitu Pulau Lingga. 

 Nama Pulau Pandan dan Gunung Daik sering disebut-sebut oleh pedagang untuk  berdagang ke Pulau Lingga. Samalah maksud pantun ini iaitu orang yang  berbudi akan setiasa di kenang walaupun sudah meninggal dunia...

**Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud budi  ialah sifat baik, perbuatan baik, kebajikan dan berbudi  pula bermaksud  baik hati, pemurah.

Asal Usul Peribahasa

Setinggi-tinggi Terbang Bangau, Akhirnya Hinggap di Belakang Kerbau Jua




Bangau memerlukan kerbau kerana lumpur di belakang kerbau terdapat lintah, siput, cacing serta kutu yang boleh dijadikan makanan. Oleh sebab itulah, walau seberapa tinggi bangau terbang, pasti akan kembali juga ke belakang kerbau untuk mendapatkan makanan itu. Maka dengan itu sesuailah peribahasa ini yang bermaksud sejauh mana kita pergi akhirnya akan pulang juga ke negara asal