Iklan di dalam keratan akhbar di bawah jelas menunjukkan kesalahan penggunaan Kata Sendi ‘di’.
Sebenarnya, mengikut hukum tatabahasa Kata Sendi ‘di’ boleh digunakan untuk menunjukkan tempat sahaja. Kata sendi ‘di’ juga tidak boleh digunakan di hadapan Kata Nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.Sepatutnya iklan di bawah menggunakan Kata Sendi ‘pada’ yang digunakan untuk menunjukkan keterangan waktu, masa atau zaman.
TAWARAN MENAWAN MENANTI ANDA PADA TAHUN BARU CINA INI
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ayat bahasa Melayu yang keinggeris-inggerisan
Dalam perkembangan bahasa Melayu zaman serba canggih ini, kebanyakan pengguna bahasa tidak dapat membezakan pengaruh bahasa Inggeris oleh sebab bentuk-bentuk asing itu sudah menjadi kebiasaan. Malah tanpa disedari, banyak ayat yang ditulis atau diucapkan oleh pengguna bahasa yang sebenarnya keinggeris-inggerisan.
Dalam tatabahasa bahasa Inggeris istilahnya disebut relative adverb. Kata jenis tersebut paling banyak digunakan dalam bahasa Melayu ialah di mana, yang mana, apa dan bagaimana. Kesemua itu diterjemahkan secara terus daripada bahasa Inggeris, iaitu where,which, what dan how. Mari kita ungkai segala persoalan berdasarkan contoh di bawah.
TIDAK KITA APA BAHASA YANG ANDA TUTUR
TIDAK KIRA APA AGAMA YANG ANDA ANUTI
Penggunaan ‘apa’ dalam iklan di atas menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. ‘Apa’ ialah Kata Tanya. Kata Tanya hanya hadir dalam ayat tanya sahaja. Dalam bahasa Inggeris ayat sebenar iklan di atas ialah:
DOESN’T MATTER WHAT LANGUAGE YOU SPEAK
DOESN’T MATTER WHAT RELIGION YOU PRACTICE
Jadi, apabila diterjemahkan secara terus ayat ini kepada bahasa Melayu maka lahirlah ayat seperti dalam iklan di atas. Perkataan what itu diterjemahkan terus dalam bahasa Melayu iaitu apa. Inilah hasilnya jika ayat dalam bahasa Inggeris diterjemahkan secara langsung ke bahasa Melayu tanpa mengambil kira kegramatisan ayat itu.
Sepatutnya ayat ini berbunyi :
TIDAK KIRA APA-APA BAHASA YANG KITA TUTUR
TIDAK KIRA APA-APA AGAMA YANG ANDA ANUTI
Janggal bukan apabila membaca ayat di atas? Memang janggal kerana kita jarang menggunakan perkataan apa-apa dalam membina ayat atau dalam percakapan harian kita. Perkataan apa dalam bahasa Melayu jika kita ingin menggunakannya dalam ayat penyata hendaklah digandakan.
Apabila perkataan apa digandakan maka akan menjadi penanda tidak tentu. Dalam kamus Dewan, apa-apa maksudnya segala sesuatu, sesuatu ( perkara yang kurang atau belum tentu)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Perkara sama berlaku pada papan iklan di bawah ini iaitu diterjemahkan secara langsung ke bahasa Melayu tanpa mengambil kira ayat itu mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu atau tidak.
BAGAIMANA KAMI SAMPAIKAN
APA YANG KAMI JANJIKAN
Ayat sebenar iklan di atas dalam bahasa Inggeris ialah :
HOW WE DELIVER
WHAT WE PROMISED
SEPATUTNYA…Iklan itu berbunyi
CARA KAMI SAMPAIKAN
PERKARA YANG KAMI JANJIKAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
IMBUHAN BAHASA ASING DALAM BAHASA MELAYU
Pernahkah anda tahu bahawa lebih 60% kata-kata dalam bahasa Inggeris berasal daripada bahasa asing? Antara yang banyak mengpengaruhi bahasa Inggeris ialah bahasa Latin, Jerman, Perancis dan Arab.
Kata alchohol, chemistry, algebra,geometri adalah kata daripada bahasa Arab. Jangan pula anda terkejut bahawa perkataan guitar jua berasal daripada kata Arab iaitu al-qitarah. Kata-kata bahasa Melayu juga sebenarnya sudah ada beberapa patah telah masuk ke dalam bahasa Inggeris. Tamsilnya keris, songkok dan orang utan.
Sebenarnya pengambilan dan penggunaan kata asing adalah lumrah dalam hampir semua bahasa di dunia. Setiap bahasa yang maju tetap dipengaruhi kata-kata asing.
Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita juga tidak sunyi daripada fenomena ini. Sama ada kita sedari atau tidak kita menggunakan bahasa asing ini setiap hari. Peminjaman kata yang paling banyak dalam bahasa Melayu ialah bahasa Sanskrit, bahasa Arab dan bahasa Inggeris.
Persoalannya sekarang masih ramai yang tidak menyedari bahawa wujud imbuhan bahasa asing dalam bahasa Melayu. Antaranya pasca, anti, pro, pra, multi, dwi, juru dan banyak lagi. (sila rujuk jadual di bawah). Jadi apabila digabungkan dengan kata dasar imbuhan ini, maka mestilah dieja rapat. Tamsilnya pascamerdeka, antidadah, probarat, prabayar, multifungsi, dwibahasa dan jururawat.
Dalam bahasa Melayu pula imbuhan peN- , meN-, beR- memang sudah tidak asing lagi dengan kita. Apabila satu perkataan (kata dasar) itu digabungkan dengan imbuhan maka mestilah ditulis rapat perkataan itu. Imbuhan peN- bergabung dengan kata dasar samun menjadi penyamun, imbuhan meN- bergabung dengan kata dasar nyanyi menjadi menyanyi, beR- bergabung dengan kata dasar lari menjadi berlari.
Penerangan di atas jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu menerima imbuhan bahasa asing dan sepatutnya ditulis rapat. Bukannya seperti papan iklan dan keratan akhbar di bawah yang dieja jarak.
Anti Penuaan sepatutnya Antipenuaan |
pasca reformasi sepatutnya pascareformasi |
PRA PERKAHWINAN sepatutnya PRAPERKAHWINAN |
MULTI TUGAS sepatutnya MULTITUGAS |
Pra tonton sepatutnya Pratonton |
Jika kesalahan sebegini tidak dibetulkan maka generasi akan datang akan terikut-ikut ejaan sebegini yang jelas ternyata salah dari segi tatabahasanya. Yang penting ialah kita menulis kata-kata itu menurut aturan tatabahasanya bukannya secara ikut-ikutan.
Di bawah ialah senarai imbuhan bahasa asing yang telah diterima pakai dalam bahasa Melayu.
IMBUHAN BAHASA ASING
IMBUHAN BAHASA SANSKRIT AWALAN Maha- maharaja Tata- tatarias Pasca – pascamerdeka Swa – swadaya Panca – pancaindera Tuna – tunakarya Eka – ekabahasa Dwi – dwifungsi Tri – tribulan Pra - Prabayar | AKHIRAN -wan budayawan -man seniman - wati seniwati - nita biduanita |
IMBUHAN BAHASA ARAB-PARSI AWALAN Bi- bilazim Biadap Binormal | AKHIRAN -wi duniawi -i abadi - iah lahiriah -in hadirin -at hadirat - ah qariah |
IMBUHAN YUNANI – LATIN- INGGERIS AWALAN Pro- probarat Anti- antisosial Poli- poliklinik Auto- autonomi Sub- subsistem Supra- suprasistem Hidro- hidrologi Kilo- kilogram Mikro- mikrosel Infra- inframerah Tele- telekomunikasi Multi- multisel Super- supersonik | AKHIRAN - isme nasionalisme - ik saintifik -si polarisasi -al kritikal -is praktis |