Bagai telur di hujung
tanduk bermaksud situasi seseorang yang
berada dalam keadaan amat sulit. Seandainya berlaku kesilapan akan mendapat
bahaya.
Situasi yang mungkin dapat menggambarkan peribahasa ini seumpama
apabila peperangan melanda di sesebuah negara, maka boleh digambarkan nyawa
rakyat jelatanya berada dalam keadaan terancam dan sangat bahaya. Hal ini
disebabkan pada bila-bila masa sahaja akan terkena letupan bom atau pada
bila-bila masa sahaja akan terkena tembakan peluru sesat.
Kenapakah diambil anafora telur di hujung tanduk? Apakah
logiknya? Ya, logiknya, telur yang
berada di hujung tanduk akan jatuh pada bila-bila masa sahaja kerana sifat telur
itu bulat dan permukaannya licin. Manakala tanduk pula bersifat tajam dan
runcing di hujungnya.
Penjelasan hukum
fiziknya pula mengapakah telur itu mudah jatuh jika berada di hujung tanduk?
Mari kita ungkai persoalan ini.
Sebenarnya …
Tekanan merupakan jumlah daya per unit luas. (Tekanan = Daya bahagi Luas permukaan)
Keadaan ini bermaksud
apabila semakin kecil luas permukaan sesuatu objek, maka semakin tinggi tekanan
yang dialaminya.
Contohnya paku itu tajam sifatnya kerana luas permukaannya
kecil. Apabila terkena daya (perbuatan menekan) yang tinggi maka akan terhasil tekanan
yang tinggi. Makanya tekanan yang tinggi akan menyebabkan paku yang tajam dapat
masuk ke dalam papan.
Jika dibandingkan dengan hal keadaan telur di hujung tanduk
ini, permukaan hujung tanduk sangat kecil. Kedudukan telur menjadi tidak stabil
dan boleh jatuh pada bila-bila masa. Apabila telur terjatuh maka secara logiknya
telur akan pecah.
Telur ini pecah disebabkan mengalami daya impuls. Daya impuls
ini bergantung kepada kadar perubahan momentum. Perubahan momentum yang tinggi
dan masa perubahan yang singkat akan menghasilkan daya impuls yang besar. Daya
impuls yang besar akan memberikan impak yang tinggi dan mengakibatkan telur itu
pecah.
Dari sudut pandang yang lain pula. Seandainya daya sama,
tetapi luas yang berbeza akan memberi tekanan yang berbeza. Contohnya seseorang
memakai kasut sukan berdiri di tempat yang sama tetapi tidak tenggelam. Namun
apabila dia memakai kasut tumit, kasut itu akan tenggelam disebabkan tekanan.
Jadi hukum fizik ini boleh memberi penjelasan bahawa apabila telur berada di
hujung tanduk dibimbangi akan jatuh dan pecah. Situasi ini jelas menunjukkan
keadaan yang meruncing dan bahaya.
Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua definisi momentum ialah daya yang menolong menggerakkan sesuatu
atau hasil darab jisim dengan halaju sesuatu jasad.