Asal Usul Perkataan 'Kancah'


Kancah bermaksud kuali besar. Selain itu, kancah juga dipanggil kawah. Biasanya kancah digunakan untuk memasak nasi atau lauk yang berkuah dalam kuantiti yang banyak semasa kenduri kendara dalam masyarakat Melayu. 

Ada yang berpendapat bahawa  kancah ialah kuali besar yang tidak mempunyai telinga. Jadi, seandainya kita hendak membezakan antara kancah dan kuali ialah. kuali mempunyai telinga dan kancah tidak mempunyai telinga.

Dalam penulisan masa ini, ramai menggunakan perkataan 'kancah' ini untuk menggambarkan sesuatu keadaan atau situasi. Harus diingat kancah ini lebih merujuk kepada keadaan sukar atau huru hara, peperangan, penderitaan dan perjuangan.

Jadi, saya rasa bertanggungjawab untuk memberitahu asal maksud sebenar kancah supaya asal usul perkataan kancah diketahui khususnya generasi muda zaman milenium ini.


Contoh ayat :

1. Kemboja terheret dalam kancah peperangan di Vietnam.
2. Ibu bapa harus menerapkan ilmu keagamaan kepada anak-anak agar mereka tidak terjerumus ke kancah maksiat.

Peribahasa sesuai dengan perkataan ini ialah 'kancah ditawar' yang bermaksud ternganga  tidak bercakap dan tidak menjawab semasa dalam perbincangan.

Sumber rujukan Pusat Rujukan Persuratan Melayu  DBP